Panduan mencari rumah di Aberdeen
UPDATE TERKINI: Pihak University of Aberdeen mulai September 2009 tidak lagi menyediakan penginapan kepada pelajar yang berkeluarga. Harap maklum.
Sila layari laman web berikut untuk mendapatkan iklan rumah sewa:
a. Aberdeen Solicitor's Property Centre (ASPC). Ianya merupakan gabungan beberapa syarikat guaman hartanah di Aberdeen . Kebanyakan rumah sewa syarikat guaman lain turut dimuatkan di dalam laman ASPC.
b. Iklan di dalam portal akhbar tempatan – Evening Express
c. Laman iklan tempatan – Aberdeen Gumtree
d. Laman iklan Masjid Aberdeen
e. Laman web AU Student Association – sini atau sini
h. Peterkins
i. Lettingweb
j. Primelet
k. Homeguard Leasing
l. Mortgage and Property
m. Stronachs
n. James and George Collie
o. Property2c
p. Raeburn Christie Clark & Wallace
q. Lihat juga iklan-iklan yang ditampal di papan notis di Masjid, supermarket, universiti, kedai halal dan lain-lain.
Mencari rumah sewa di Aberdeen merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan agak mencabar. Memandangkan bandar ini agak sinonim dengan industri minyak dan gas, maka harga hartanah agak mahal. Walau bagaimanapun, sekiranya kita tahu cara terbaik untuk mencari rumah sewa, serta banyak bersabar dan bertawakal, insyaAllah kita akan mendapat rumah mampu-sewa yang diidamkan.
Berdasarkan permintaan rumah sewa yang agak tinggi, serta pasaran yang agak terhad, dan juga beberapa undang-undang yang memerlukan penyewa berada di Aberdeen untuk urusan kontrak, Persatuan Melayu Aberdeen tidak dapat memberikan jaminan untuk menawarkan khidmat home-hunting kepada pelajar-pelajar baru. Akan tetapi, kami akan cuba menawarkan khidmat nasihat, dan cuba menawarkan penginapan sementara bagi pelajar sementara mereka mencari rumah sendiri.
Apa yang perlu dilakukan untuk mencari penginapan ?
1. Hubungi tuan rumah/agen/solicitor seperti yang terkandung di dalam iklan.
2. Dapatkan tarikh untuk melihat rumah (viewing). Sekiranya rumah itu diuruskan oleh agen/solicitor, tarikh melihat rumah biasanya telah ditentukan, dan akan ramai orang yang bersama-sama dengan kita melihat rumah tersebut.
3. Sekiranya rumah itu diuruskan oleh agen/solicitor, mereka akan menyenarai pendek penyewa yang berpotensi, dan akan menghubungi penyewa yang mereka pilih untuk tinggal di rumah mereka.
4. Beberapa dokumen pengenalan diri biasanya akan turut diminta, seperti surat tawaran universiti, akaun bank dan lain-lain. Kebiasannya menyewa secara terus dengan tuan rumah agak mudah, kerana mereka tidak akan meminta banyak dokumen pengenalan diri, dan boleh menerima wakil untuk menguruskan rumah kita. Akan tetapi kebanyakan rumah sewa di Aberdeen diuruskan oleh agen/solicitor, dan banyak dokumen yang akan diminta oleh mereka. Kebanyakan agen/solicitor juga tidak menerima wakil, sebaliknya mereka ingin berurusan terus dengan penyewa.
5. Membayar sewa bulan pertama dan deposit seperti yang diminta. Buat perjanjian tarikh masuk rumah. Dapatkan kontrak.
1. Harga sewa rumah.
Ianya berbeza mengikut lokasi, bilangan bilik dan perabut. Secara umum, harga sewa rumah boleh dirumuskan seperti berikut:
a. Penginapan universiti – agak murah. Sewa bilik antara £250-£450, sementara sewa rumah bagi pelajar pasca-siswazah berkeluarga bagi University of Aberdeen ialah antara £250-£300.
b. Rumah sewa persendirian/melalui syarikat guaman hartanah. Harganya adalah seperti berikut (lengkap dengan perabut):
i. Bilik sahaja - £200 ke atas (purata £300)
ii. Studio - £350 ke atas (purata £450)
iii. Flat satu bilik - £400 ke atas (purata £500)
iv. Flat dua bilik - £450 ke atas (purata £650)
2. Lokasi – Rumah berhampiran dengan universiti, hospital atau pusat bandar biasanya lebih mahal.
3. Kejiranan– Pastikan anda memilih kawasan kejiranan yang kurang masalah jenayah.
4. Sistem pemanas rumah – Sistem pemanas gas berpusat (gas central heating) lebih jimat berbanding sistem pemanas elektrik. Walau bagaimanapun, harga gas yang naik pada awal September 2008 menyebabkan ramai pemilik hartanah mendakwa lebih jimat sekiranya menggunakan pemanas elektrik. Apa yang pasti, pemanas gas berpusat adalah lebih selesa dan setakat ini terbukti lebih menjimatkan.
5. Kelengkapan rumah – Rumah di Aberdeen kebiasaannya disewa dengan pakej perabut lengkap. Ada juga yang menyewa tanpa perabut, atau separuh berperabut, di mana harganya lebih murah.
6. Bilangan bilik – tuan rumah atau syarikat guaman hartanah biasanya amat menitikberatkan mengenai bilangan ahli keluarga. Sekiranya anda ingin tinggal dengan pasangan (suami/isteri), maka tiada masalah untuk tinggal di studio atau flat satu bilik. Akan tetapi sekiranya anda mempunyai anak berumur lebih 2 tahun, maka anda hanya boleh menyewa flat yang mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik.
Home-hunting bagi pelajar AU dan RGU.
1. Sekiranya anda merupakan pelajar pra-siswazah di University of Aberdeen, anda boleh memohon penginapan pelajar daripada Accomodation Department, University of Aberdeen setelah mendapat unconditional offer letter. Sila dapatkan maklumat lanjut di sini, atau anda boleh muat turun brosur yang berkaitan.
Pihak universiti juga menyediakan rumah bagi pelajar pasca-siswazah yang berkeluarga. Penginapan untuk pelajar matang berkeluarga dimiliki oleh Aberdeen City Council (Majlis Perbandaran Aberdeen), tetapi diuruskan oleh Accomodation Department, University of Aberdeen. Anda boleh menghubungi kakitangan
Kelebihan rumah ini ialah sewanya yang amat murah, antara £250-£300 bagi flat 2 bilik + 1 ruang tamu, dengan sistem pemanas berpusat berasaskan gas (gas central heating). Rumah ini kebiasaannya ditawarkan tanpa sebarang perabut. Justeru kita perlu membeli perabut sendiri, atau mendapatkannya secara percuma melalui beberapa pertubuhan kebajikan.
2. Bagi pelajar pra-siswazah AU pula, anda biasanya dijamin oleh pihak universiti dengan penginapan. Pun demikian, sila hubungi pihak PMA terlebih dahulu kerana dalam kes tertentu, ada rumah pelajar Malaysia yang sedia ada di sini memerlukan penghuni baru.
3. Sekiranya anda belajar di Robert Gordon University (RGU), dan ingin tinggal di penginapan yang disediakan oleh pihak RGU, sila rujuk laman ini.
Cara mendapatkan kelengkapan/perabut rumah.
a. membeli daripada kedai-kedai kebajikan (charity shop) daripada British Heart Foundation di Union Street.
b. merujuk laman iklan portal akhbar tempatan Evening Express atau Aberdeen Gumtree.
c. iklan menjual barangan terpakai juga boleh didapati di papan iklan universiti dan juga pasaraya terkemuka. Bagi pelajar AU, sila langgani milis smallads.
d. Ada juga beberapa kedai yang menjual barangan terpakai yang berkualiti di George Street. Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan dapur, peti sejuk dan mesin basuh dengan jaminan setahun pada harga £300 sahaja berbanding sehingga £1000 sekiranya membeli yang baru.
e. Barangan lelong di Thainstone Business Centre
Lebih menarik, anda juga boleh mendapatkan keseluruhan barangan secara percuma dengan menghubungi beberapa orang individu tempatan yang suka membuat kerja amal. Sila rujuk kepada AJK PMA untuk menghubungi individu-individu tersebut. Selain itu, kelengkapan rumah percuma juga boleh diperolehi menerusi pertubuhan Freecycle
Kesimpulannya, bagi pelajar matang berkeluarga, anda boleh berjimat dengan tinggal di rumah ini. Walau pun pada permulaan anda perlu untuk mengeluarkan duit yang agak banyak untuk membeli karpet (anggaran £250-£400) dan juga kelengkapan asas rumah (anggaran antara £100 - £300), tetapi anda masih boleh dapat menjimatkan duit anda kerana sewa rumah yang amat rendah.
No comments:
Post a Comment