Tazkirah

Risalah 10

Salam taqwa.

RAMADHAN KARIM: PESTA IBADAH TELAH BERMULA

Semasa menuntut di Mesir, ketika ketibaan Ramadhan, orang tempatan akan saling memberikan ucapan tahniah antara satu sama lain dengan ucapan Ramadhan Karim (lebih kurang maksudnya selamat menyambut Ramadhan yang mulia). Yang mendengar ucapan itu pula akan menjawab, Allahu Akram (Allah lebih mulia).

Saya pernah bertanya dengan salah seorang Syeikh di sana, apa signifikannya ucapan Ramadhan Karim dan Allahu Akram ini. Beliau menjawab, Ramadhan Karim adalah ucapan doa semangat, supaya umat Islam berjaya menunaikan ibadah Ramadhan dengan baik kerana bulan itu penuh dengan kemuliaan.

Ya, memang kemuliaan Ramadhan tiada tandingannya. Masuk Ramadhan adalah ibarat masuk ke tapak pesta, kita akan bersungguh-sungguh untuk mengejar ganjaran yang ditawarkan di dalam pesta tersebut tanpa mengira harga yang perlu dibayar. Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran. Di dalamnya diturunkan al-Quran. Di dalamnya dimenangkan 313 tentera Badar. Di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Macam-macam ada di pesta Ramadhan.

Untuk mendapat ganjaran-ganjaran Ramadhan, kita tidak boleh mengharapkan ‘bayaran’ puasa sahaja. Tidak cukup dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Tetapi yang dituntut untuk mendapat ganjaran itu ialah lebih daripada puasa. Dengan sebab itulah, orang Arab mengucapkan selamat menyambut Ramadhan yang mulia. Tidak seperti segelintir orang-orang Melayu yang memberikan ucapan ‘Selamat Berpuasa’, seolah-olah memberi faham yang Ramadhan itu hanya berpuasa semata-mata.

Tidak hairanlah, ramai umat Islam yang rugi ketika di bulan Ramadhan. Kerugian paling besar ialah, mendapat lapar dan dahaga tetapi pahala entah ke mana. Mana tidaknya, ketika berpuasa Ramadhan, mata masih memandang perkara munkar. Hati masih membenci si fulan dan si fulan. Mulut masih mengumpat dan mencerca. Telinga masih mendengar alunan lagha.

Lebih rugi lagi, ialah mereka yang tidak meletakkan prioriti terhadap nikmat masa lapang dan sihat yang Allah berikan di dalam kehidupan mereka. Allah berikan kita masa lapang antara lain supaya kita beribadah. Tetapi ketika di bulan Ramadhan, alasan ‘tidak cukup masa’ kerap dijadikan alasan untuk tidak menunaikan solat qiyam Ramadhan/tarawih. ‘Tidak cukup masa’ juga dijadikan sebab mengapa tidak mahu membaca atau menyertai tadarus al-Quran. Kalau tidak mampu sekali pun mengkhatam al-Quran sebanyak dua kali sehari seperti Imam al-Shafie ketika bulan Ramadhan, mengapa tidak ingin membaca walaupun sehelai sehari?

Dan yang paling rugi semasa Ramadhan, ialah mereka yang tidak rasa apa-apa dengan ketibaan Ramadhan. Bagi mereka, Ramadhan atau bukan Ramadhan adalah sama sahaja. Sikap ambil lewa ini seolah-oleh memperkecilkan tawaran tahunan besar-besaran yang Allah belikan kepada umat Islam. Cuba kita perhatikan rakan-rakan di negara Arab, sebagai contoh untuk menaikkan semangat dan kezaman kita. Ketika bulan Ramadhan inilah, terutamanya ketika 10 malam terakhir, mereka akan mengambil cuti kerja untuk beri’tikaf di masjid. Cuba kita perhatikan pula rakan-rakan India dan Pakistan yang kebanyakannya bekerja dari pagi sampai ke lewat malam di Aberdeen. Selepas penat bekerja, tepat jam 12 tengah malam, mereka akan menunaikan solat tarawih di Masjid, dan jumlah yang hadir pun agak ramai.

Justeru, tanamkanlah azam dan panjatkanlah doa supaya Allah menjauhkan kita daripada perasaan malas untuk beribadah khususnya di bulan Ramadhan.

ALLAHU AKRAM

Selanjutnya Syeikh saya itu mengulas lagi, mengapa dijawab Allah lebih mulia. Beliau menjawab yang ada sebahagian umat Islam yang rasa bertuhan hanya ketika bulan Ramadhan sahaja, tetapi selepas Ramadhan hidupnya akan lalai. Dengan sebab itulah diperingatkan yang walaupun Ramadhan itu bulan yang mulia, tetapi Allah, Tuhan Ramadhan itu lebih mulia dan kekal selama-lamanya.

Kepada semua saudara-mara dan rakan-rakan saya, sempena ketibaan Ramadhan ini, saya ucapkan Ramadhan Karim, selamat menunaikan ibadah Ramadhan kepada kita semua. Jadikanlah bulan Ramadhan pada tahun sebagai yang terbaik yang pernah kita lalui, lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

**************************

FAQ Siyam

Q: Saya di Ireland berpuasa hari Jumaat. Sedangkan ustaz di UK berpuasa hari Sabtu. Kawan di Germany, Sweden dan Turkey pun berpuasa hari Jumaat. Camne boleh berlaku perbezaan itu?
A: Masuk bulan Ramadhan perlu ditentukan dengan rukyah, iaitu melihat anak bulan. Perbezaan tarikh mula berpuasa mungkin kerana keputusan rukyah yang berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Dalam hal ini, oleh kerana kita berada di negara Muslim minoriti, maka rujuklah masjid tempat kita melazimi solat fardhu/Jumaat. Saya mendengar pengumuman Imam Masjid saya. Selepas pengumuman, sekadar untuk memuaskan hati, saya pergi ke tepi pantai di mana amat mudah untuk melihat anak bulan. Langit malam semalam adalah cerah tanpa awan, dan anak bulan tidak kelihatan. Amalan ru’yah adalah berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (Ramadhan). Dan berbukalah ketika melihat anak bulan (Syawal). Jika anak bulan terhalang dek awan, maka sempurnakanlah Sha’ban 30 hari”.

Di sana ada juga ulamak yang membenarkan penentuan tarikh puasa berdasarkan mengikut pandangan majoriti muslim. Ini berdasarkan hadith yang bermaksud, “Puasa kamu adalah hari ketika mana umat Islam berpuasa, Eidul Fitri kamu ketika mana umat Islam ber’eidul Fitri, dan Eidul Adha kamu adalah ketika mana Eidul Adha umat Islam”. Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini ialah hadith hasan gharib, sementara al-Albani pula menyatakan hadith ini sebagai hadith sahih.

Allahua’lam.

****************************

Risalah 09

Salam taqwa.

Di majoriti negara umat Islam, malam ini kita akan melihat anak bulan bagi menentukan Ramadhan. Hampir melewati penghujung Sha’ban, belum terjamin lagi kita akan sampai ke gerbang Ramadhan. Sama-samalah kita berdoa, Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sha’ban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan.

Alhamdulillah risalah Ramadhan saya telah masuk ke edisi yang ke-9. Moga ianya menjadi peringatan buat diri kita, terutamanya saya, yang selalu lupa. Untuk edisi kali ini, saya akan menyentuh kembali beberapa tips asas amalan rutin ketika ibadah Ramadhan.

TIPS ASAS RAMADHAN

1. Sebahagian kita selalu memanggil bulan ini sebagai bulan puasa. Untuk mengelakkan kita hanya berlapar dan dahaga sahaja sepanjang bulan ini, apa kata kita ubah panggilan tersebut, daripada bulan puasa, ke bulan Ramadhan?

2. Jangan lupa untuk memasang niat berpuasa. Cukuplah dengan lintasan hati untuk berpuasa, bermula daripada Maghrib hinggalah ke waktu fajar untuk membolehkan kita berpuasa. Lafaz niat puasa mungkin perkara yang baik untuk aspek pendidikan kanak-kanak. Apa kata kita biasakan anak-anak kecil kita mendengar nasyid Raihan ‘Puasa Dulu Baru Raya’ yang boleh didapati di youtube?

3. Sebahagian umat Islam meninggalkan amalan bersahur. Ruginya bagi mereka yang sengaja meninggalkan sahur. Berikut adalah beberapa maklumat penting mengenai sahur:
a. Ianya adalah amalan sunat yang amat dituntut.
b. Di dalam sahur, ada keberkatan. Maksud berkat, antara lain ialah, walaupun sedikit, tapi hasilnya banyak. Walaupun mungkin kita sahur sedikit, tetapi kesan daripada makan yang sedikit itu ialah banyak sekali. Dalam hadith sahih riwayat An-Nasa’ie, Nabi SAW dilaporkan berkata: Sesungguhnya makan sahur adalah barakah yang Allah berikan kepada kamu, maka janganlah kamu tinggalkan.
c. Meninggalkan sahur merupakan simbol kemalasan dan tanda kita mempunya sindrom tidak peduli dalam melaksanakan ibadah Ramadhan. Tidak serius. Ianya membawa kepada tidak mendapat pahala bersahur, tidak mendapat pahala qiyam dan kemungkinan lewat mengerjakan solat subuh.
d. Sunat sahur, ialah melewatkannya. Dalam sepotong hadith sahih seperti dalam artikel sebelum ini, Nabi berhenti sahur lebih kurang tempoh waktu bacaan 50 ayat al-Quran.
e. Sahur membezakan puasa kita dengan puasa ahli kitab.

4. Jangan jadi orang yang rugi besar di bulan Ramadhan dengan mendapat lapar dan dahaga sahaja. Tetapi hiasilah siang dan malam Ramadhan dengan beribadah. Kreatifkan cara beribadah kita, daripada hanya sekadar mendengar MP3 al-Quran, sehinggalah kepada solat tahajjud. Jangan salah faham mengenai konsep ‘tidur itu ibadah’, lalu kita menghabiskan banyak waktu untuk tidur sahaja.

5. Letakkan sasaran menjadikan Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada Ramadhan akan datang. Contohnya, sekiranya tahun lepas kita hanya pergi ke Masjid untuk bertarawih seminggu sekali sahaja, apa kata kita tingkatkan kepada dua kali seminggu, yang penting ada peningkatan. Kaum ibu berperanan untuk ‘menghalau’ anak-anak dan suami mereka pergi ke masjid.

6. Ketika berbuka puasa, jagalah panduan berikut:
a. Menyegerakan iftar ketika berpuasa. Moga-moga dengan sikap bersegera ketika iftar akan turut kita turuti untuk segera melaksanakan ibadah ketika masuk waktunya, seperti solat dan zakat. Melewat-lewatkan iftar adalah cara puasa Yahudi.
b. Sunat berbuka puasa dengan rothob (tamar separuh matang, tidaklah keras dan tidaklah terlalu basah). Sekiranya tiada, dengan buahan atau air.
c. Bacaan untuk berbuka puasa:
i.ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ
“Rasa haus telah pergi dan urat-urat telah dibasahi serta mendapat pahala insyaAllah”. (Hadith hasan riwayat Abu Daud)
ii. اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka” (Hadith riwayat Abu Daud daripada Mu’az bin Zuhrah)
d. Mengajak orang lain berbuka puasa adalah amalan mulia. Dalam sepotong hadith sahih riwayat al-Tirmizi, Nabi bersabda yang maksudnya, barangsiapa memberi makan orang yang berbuka puasa, bagi baginya adalah pahala seperti yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun.
e. Doa ketika memenuhi jemputan orang yang menjamu kita berbuka puasa:
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُوْنَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ اْلأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ
“Semoga orang-orang yang puasa berbuka di sisi kalian dan orang-orang yang shalih lagi bertakwa makan makanan kalian serta para malaikat mendoakan kalian”. (Hadith sahih riwayat Abu Daud).
f. Jangan berlebih-lebihan ketika berbuka puasa. Ingat, masih ada lagi peluang mengejar ibadah Ramadhan selepas berbuka puasa.

7. Tidak meninggalkan solat qiyam /tarawih.

*******************

FAQ Siyam

Q: Ustaz, saya selsema dan kuat berkahak sekarang ini. Adakah kalau saya tertelan kahak atau selsema saya, akan membatalkan puasa?
A: Meluahkan kahak dari dalam tidak membatalkan puasa, kerana ianya bukan muntah. Adapun menelan kahak selepas berada dalam mulut, ianya membatalkan puasa. Begitu juga dengan selsema yang terkeluar ke dalam mulut, maka hendaklah diludahkan. Kalau tertelan dengan tidak sengaja, maka tidak mengapa.

****************

Salam taqwa

ANTARA PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA, DAN PERKARA YANG MEMBATALKAN PAHALA PUASA

Umum kita mengetahui perkara-perkara yang membatalkan puasa. Secara ringkas, perkara yang membatalkan puasa ialah seperti berikut:

1. Makan dan minum dengan sengaja.
2. Melakukan persetubuhan.
3. Muntah dengan sengaja walaupun sedikit.
4. Kedatangan haid dan nifas.
5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
6. Memasukkan sesuatu menerusi saluran terbuka yang sampai ke perut.
7. Pengsan sepanjang hari membatalkan puasa. Tidur sepanjang hari tidak membatalkan puasa.
8. Gila.

Akan tetapi, hanya sedikit daripada kita yang berhati-hati daripada terlibat melakukan perkara yang membatalkan pahala puasa. Perkara-perkara yang membatalkan puasa boleh dilihat di dalam himpunan hadith di bawah:

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ اْلأَكْلِ وَ الشُّرْبِ
Bukanlah (pahala) puasa itu sekedar menahan daripada makan dan minum. [Hadith sahih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

من لم يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ و الجهل فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan berbuat dusta, serta amal kebodohan, maka tiadalah Allah ingin melihat pada amalannya meninggalkan makan dan minumnya. (Hadith Sahih riwayat Al-Bukhari)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الصِّيَامَ لَيْسَ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغُوِ وَالرَّفَثِ فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa itu bukan menahan daripada makan dan minum saja, hanyalah puasa yang sebenarnya ialah menahan daripada ucapan sia-sia (lagha) dan lucah/mencarut(rafath), maka bila seseorang mencacimu atau berbuat sesuatu yang bodoh kepadamu katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.” (Hadith Sahih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه يقول قال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قال الله وإذا كان يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فلا يَرْفُثْ ولا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أو قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إني امْرُؤٌ صَائِمٌ
Daripada Abu Hurairah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: …maka bila pada hari puasanya seseorang di antara kalian janganlah ia melakukan ucapan/tindakan lucah/mencarut dan janganlah dia menjerit/berteriak, bila seseorang mencacimu atau mengganggumu maka katakanlah: Saya sedang berpuasa….” (Al-Bukhari)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لا تَسَابَّ وَأَنْتَ صَائِمٌ وَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ وَإِنْ كُنْتَ قَائِمًا فَاجْلِسْ
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu saling mancaci (bertengkar mulut) sementara kamu sedang berpuasa maka bila seseorang mencacimu katakan:‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’, dan kalau kamu sedang berdiri maka duduklah.” (Hadith Sahih, riwayat Ibnu Khuzaimah, Nasa’i, Imam Ahmad)

Daripada himpunan hadith di atas, bolehlah disimpulkan yang antara perkara yang membatalkan pahala puasa kita ialah:

a. Berbohong atau berkata dusta.
b. Membuat sesuatu yang sinonim dengan kejahilan, seperti bercakap tanpa ilmu dan seumpamanya.
c. Bercakap sesuatu yang melucah, mencarut, serangan seksual secara lisan atau ingin menaikkan syahwat orang lain.
d. Bercakap sesuatu yang sia-sia, tanpa sebab, dan tidak bermakna.
e. Meninggikan suara ketika bercakap.
f. Bertengkar.

Marilah sama-sama kita jauhi perbuatan yang boleh membatalkan pahala puasa kita.

***************

FAQ Siyam.

Q: Saya tidak sedar yang saya masih makan bersahur, sedangkan sudah masuk waktu subuh/terbit fajar. Apakah hukum puasa saya?
A: Jumhur ulamak menyatakan tidak sah puasa, dan wajib qadha’. Ini termasuklah juga perkara-perkara lain yang membatalkan puasa, seperti jimak. Dan ini termasuklah juga makan untuk berbuka puasa, sedangkan waktu berbuka puasa masih belum masuk lagi.

Q: Ketika saya makan bersahur, tiba-tiba saya dengar azan atau sebarang tanda yang telah terbit waktu fajar. Apa yang patut saya lakukan?
A: Mengikut jumhur, anda perlu luahkan makanan tersebut. Sekiranya ditelan, maka terbatal puasanya. Begitu juga sekiranya bersetubuh, maka perlulah dikeluarkan zakar sesegera mungkin. Puasa tidak batal sekiranya air mani keluar sesudah itu. Minoriti ulamak pula berpandangan diharuskan makan cebisan akhir makanan atau minuman yang berada di tangan, berdasarkan kepada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

Q: Saya berjunub, tetapi tidak sempat untuk mandi sebelum waktu subuh. Sahkah puasa saya?
A: Sah.

Q: Saya dengar ada larangan berpuasa pada hari Shak. Apakah hari Shak?
A: Dalam sepotong hadith sahih, Nabi Muhammad SAW melarang kita berpuasa pada dua hari atau sehari sebelum berpuasa. Ulamak menyatakan hari yang dilarang berpuasa ialah pada hari ke-30 Sha’ban, sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada malam sebelumnya. Itulah yang dinamakan hari shak/syak, yang bermaksud hari yang meragukan sama ada sudah masuk bulan Ramadhan atau belum. Dalam hal ini, kita perlu merujuk kepada pihak berautoriti agama di tempat masing-masing. Di UK, rujuklah masjid di tempat kita melazimi solat jumaat/ fardhu kita. Contohnya di tempat saya, penentuan anak bulan puasa akan dilakukan pada hari Khamis malam Jumaat. Sekiranya tidak nampak anak bulan, maka puasa akan jatuh pada hari Sabtu, dan diharamkan berpuasa pada hari Jumaat tersebut.

Allahua’lam

****************

Risalah 07

Salam taqwa.

TIPS PUASA CEMERLANG

Syarikat yang baik, ialah syarikat yang sentiasa memastikan peningkatan prestasi dari tahun ke tahun. Mereka bersungguh-sungguh menaikkan keuntungan syarikat, dan memastikan keuntungan tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Begitulah juga sebenarnya sikap yang ada pada muslim yang akan berpuasa Ramadhan. Mengapa di pejabat atau di universiti mereka boleh bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi tahunan mereka, sedangkan tidak pula bersikap demikian ketika datangnya Ramadhan. Untuk memastikan peningkatan itu berlaku, kita tidak boleh menjadikan bulan Ramadhan semata-mata medan untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata, tetapi seluruh anggota zahir dan batin kita perlu turut beribadah-Ramadhan. Puasa itu wajib, dan ibadah Ramadhan yang lain kebanyakannya adalah sunat yang amat dituntut. Ketika makan, nasi yang wajib dan mengenyangkan itu hanya sepinggan. Tetapi lauk-pauk sampingan itu kadang-kadang sampai 6 pinggan. Nasi wajib untuk mengenyangkan, lauk-pauk itu hanya sampingan sahaja, tetapi dengan lauk-pauk yang banyak itulah akan menambah selera ketika kita makan. Nasi ibarat puasa, sementara lauk-pauk itu ibarat ibadah-Ramadhan yang sunat.

Justeru, entri kali ini akan memberikan cadangan, terutamanya kepada diri saya yang selalu lupa, mengenai bagaimana kita boleh menjadikan ibadah Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Tips ini adalah terkesan dengan latar belakang saya yang akan berpuasa di perantauan (bumi minoriti Muslim) pada musim panas (tahun ini, Subuh jam 4 am, Maghrib 8:30 pm, Isya’ 10 pm).

1. PUASA CEMERLANG SEORANG SUAMI DAN BAPA

a. Sebagai ketua keluarga, suami dan bapa perlu memimpin keluarganya untuk menjalani ibadah Ramadhan. Suami/bapa perlu menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak.
b. Ajak isteri untuk bertadarus di rumah masing-masing. Tiada siapa yang sempurna dalam bacaan al-Quran. Perlu tegur-menegur di dalam bacaan al-Quran, terutamanya tajwid dan makhraj. Dapat sehelai mukasurat pun alhamdulillah.
c. Sebaik-baik solat sunat ialah di rumah, dan solat wajib di Masjid. Akan tetapi tiada siapa pun meragui afdholnya solat tarawih di Masjid. Walaupun tarawih di Masjid mungkin akan tamat sekitar tengah malam pada musim panas ini, apa kata suami atau bapa meletakkan azam sekurang-kurangnya satu hari di hujung minggu, menunaikan solat tarawih di Masjid? Kalau dapat buat setiap hari, alhamdulillah.
d. Memimpin isteri dan anak-anak sebagai imam tarawih di rumah. Buat yang ringkas pun tidak mengapa.
e. Ketika sahur, beri sedikit peruntukan masa untuk menunaikan solat tahajjud, atau sekurang-kurangnya 1 rakaat solat witir.
f. Sekali-sekala, berbuka puasa di Masjid. Ini ialah amalan yang baik, kerana akan mengelakkan kita daripada makan berlebihan di rumah. Di rumah, sudah tentu isteri akan menyediakan pelbagai juadah. Kalau tidak menambah, sudah tentu tidak cukup syarat. Kalau di masjid, biasanya akan makan sepinggan sahaja. Banyak makan ketika berbuka puasa pada musim panas ini memungkinkan kita mengabaikan solat Isya’ dan tarawih.
g. Kenal pasti kelemahan duniawi keluarga di rumah, dan kurang atau tinggalkannya di bulan Ramadhan. Sebagai contoh, kalau kelemahan duniawi keluarga kita ialah televisyen, maka jadikan Ramadhan sebagai masa untuk mengurangkan masa menontonnya. Begitu juga dengan amalan menontot movie/drama di internet, merokok dan sebagainya.

2. PUASA CEMERLANG SEORANG ISTERI DAN IBU

a. Melatih anak-anak berpuasa. Dapat beberapa jam pun alhamdulillah, sebagai latihan awal supaya tidak terkejut apabila dah masuk umur baligh nanti. Bagi anak-anak kecil yang membesar di perantauan khususnya di negara minoriti Muslim, ketiadaan suasana meriahnya berpuasa boleh menyebabkan anak-anak kita terabai dalam menunaikan ibadah ini. Justeru ibu kena kreatif. Contohnya, anda boleh buka cerita Upin Ipin mengenai puasa di bulan Ramadhan, dan biasakan membuka yotube nasyid niat puasa oleh Raihan.
b. Walaupun kehidupan ibu agak memenatkan juga sebagai pengurus rumah tangga, apa kata anda menjadikan semua kerja-kerja di rumah sebagai ibadah dengan menjaga niat?
c. Ketika berehat pun kita masih boleh beribadah. Ketika baring, kita boleh berwirid atau baca al-Quran. Atau baca sahaja mana-mana ayat yang kita hafal.
d. Apa kata, anda minta suami anda jadi imam solat di rumah? Dan minta mereka menyemak bacaan al-Quran anda?
e. Sekali-sekala, ‘halau’ (baca:ajak) suami anda ke Masjid. Letakkan sasaran, sekurang-kurangnya seminggu sekali contohnya. Kalau suami mengadu penat kerana tarawih panjang, bagi cadangan kepadanya supaya cuba dulu 2 raka’at sahaja setiap malam. Kemudian yang berbaki, boleh buat di rumah.
f. Terutama kaum ibu yang mempunyai anak-anak yang kecil, mungkin masa mereka untuk beribadah secara khusus agak terhad. Apa kata minta suami untuk memberi peruntukan masa kepada si ibu, minta mereka jaga anak-anak, supaya dapat bertadarus atau berprogram bersama-sama dengan kaum ibu lain dalam sejam dua?

3. PUASA CEMERLANG ANAK YANG SOLEH

a. Berlatih untuk berpuasa sedari awal.
b. Membiasakan diri dengan mengikuti bapa anda ke Masjid.
c. Utamakan bersahabat dengan Muslim supaya dapat saling memberikan sokongan ketika berpuasa.
d. Kurangkan amalan yang sia-sia seperti menonton televisyen, bermain video game dan seumpamanya.

4. PUASA CEMERLANG SEORANG YANG MASIH BUJANG

a. Lazimi diri anda ke masjid, khususnya untuk berbuka puasa, solat Maghrib, Isya’ dan tarawih. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, termasuklah juga keberkatan dari sudut penyimpanan wang. Anda tidak perlu berbelanja untuk membeli makanan ketika berbuka puasa, cukup datang ke masjid yang menyediakan juadah yang mengenyangkan.
b. Sertai tadarus al-Quran. Kalau malu untuk membaca pun tidak mengapa. Boleh dengar sahaja sambil belajar memperbaiki kualiti bacaan. Sedangkan Rasulullah, insan yang paling fasih lidah Arabnya pun masih bertadarus dan minta disemak bacaan Baginda, inikan pula kita.
c. Kurang atau tinggalkan perkara yang sia-sia ketika berpuasa. Jadikan semua amalan dan aktiviti harian kita sebagai ibadah.
d. Beri’tikaf di Masjid terutamanya pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan pun adalah amalan mulia. Bersyukurlah dengan nikmat kuat dan masa lapang yang Allah beri ketika muda dan bujang dengan mencabar diri kita menyertai ‘aktiviti lasak’ ini.

Mari sahabat-sahabat sekalian, kita letakkan sasaran masing-masing. Biarlah sedikit, asalkan ada peningkatan dan keikhlasan.

*************************************************

FAQ Siyam

Q: Gusi saya kerap berdarah. Adakah ianya membatalkan puasa?
A: Tidak, selagi anda tidak menelan darah tersebut.

Q: Saya perlu untuk rasa masakan saya ketika masak. Adakah ianya membatalkan puasa?
A: Tidak, selagi anda tidak menelannya.

Allahua’lam

****************

Risalah 06

Salam taqwa.

Alhamdulillah, Allah masih kurniakan lagi kita nikmat kehidupan duniawi untuk kita menggali khazanah dan bekalan guna di akhirat kelak. Ramadhan insyaAllah akan tiba empat atau lima hari lagi. Moga nikmat hidup itu Allah pinjamkan agar kita dapat merasai keberkatan Ramadhan.

Sebagai Muslim, kehadiran Ramadhan amat dirindui. Saya tertarik dengan analogi salah seorang Tuan Guru di Malaysia, yang menyatakan apabila Ramadhan semakin hampir, ianya diibaratkan seperti hampirnya hari masuk gaji bagi pekerja (atau biasiswa bagi pelajar tajaan). Contohnya, sekiranya gaji/biasiswa kita masuk pada 31 Ogos, maka sejak 25 Ogos lagi, iaitu 5 hari sebelum masuk gaji, kita sudah rasa lega, dan tidak sabar-sabar. Ada yang mula merancang ke mana nak dibelanjakan duit itu. Ada juga yang berani berhutang untuk membeli barangan tertentu kerana yakin beberapa hari sahaja lagi, gaji akan masuk, dan hutang itu akan dilangsaikan. Inilah sikap mukmin yang mendamba rasa taqwa menjelang Ramadhan, rasa gembira, lega, dan mengharapkan agar nikmat serta berkat Ramadhan itu akan dapat dikecapi. Tanyalah diri, adakah kita sudah ada rasa sedemikian rupa?

*************************************

HIMPUNAN HADITH-HADITH SAHIH MENGENAI RAMADHAN

Sekiranya semalam saya berkongsi menghimpunkan beberapa hadith maudhu’ dan dho’if yang popular disebarkan semasa Ramadhan, insyaAllah pada kali ini kita akan menyenaraikan beberapa hadith sahih mengenai fadhilat Ramadhan. Hadith-hadith ini sepatutnya menjadi prioriti kita untuk disebarkan bagi mencetuskan kesedaran rakan-rakan mengenai bulan yang mulia ini.

1.Abu Hurairah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ – مَرَّتَيْنِ – وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِّ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ تَعَالىَ مِنْ رِيْحِ اْلمِسْكِ، يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، اَلصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا [متفق عليه]

“Puasa adalah perisai. Maka hendaklah seseorang tidak berkata (berbuat) keji dan tidak berbuat jahil. Dan bila ada yang mengajak bertengkar atau mencelanya maka katakan: “Sesungguhnya saya sedang berpuasa” – dua kali – Dan demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bau misk di sisi Allah. Dia meninggalkan makanan, minuman, dan syahwatnya kerana Aku. Dan Aku sendiri yang akan membalas amalan baiknya dan ketahuilah bahawa satu kebaikan dilipatgandakan balasannya sampai sepuluh kali kali ganda” [Muttafaq ‘alaih].

2. Sahl bin Sa’d meriwayatkan yang Nabi SAW bersabda :
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهِ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ : أَيْنَ الصَّائِمُونَ ؟ فَيَقُوْمُونَ لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلَوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ. [متفق عليه]

“Sesungguhnya di Jannah ada sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan yang masuk melaluinya pada Hari Kiamat hanyalah orang-orang yang berpuasa. Tidak akan masuk seorang pun melaluinya selain mereka, kemudian diserukan, “Manakah orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun yang akan masuk melalui pintu Ar-Rayyan kecuali mereka. Setelah mereka masuk semua, maka pintu itupun ditutup, sehingga tidak ada lagi yang bisa masuk melaluinya.” [Muttafaqun ‘Alaih].

3. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan yang Rasulullah bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَصُوْمُ يَوْمًا فِي سَبِيْلِ اللهِ إِلاَّ بَاعَدَ اللهُ بِذلِكَ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِيْنَ خَرِيْفًا [متفق عليه]

“Tidaklah seseorang berpuasa sehari di jalan Allah melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dengan puasanya tersebut dari api/nar di hari kiamat, sejauh 70 tahun.” [Muttafaq ‘alaih]

4. Hudzaifah meriwayatkan yang Rasulullah SAW bersabda:
فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَ مَالِهِ وَ جَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَ الصِّيامُ وَ الصَّدَقَةُ (متفق عليه)

“Dosa yang dilakukan seseorang kerana fitnah keluarga, harta, atau jiran akan dihapuskan melalui solat, puasa dan sedekahnya.” [Muttafaqun ‘alaihi]

5. Abu Hurairah dan Abu Sa’id Al-Khudri melaporkan yang Rasulullah bersabda :
(( لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ )) [متفق عليه]

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan: Jika berbuka dia bergembira dengan berbukanya tersebut, jika bertemu Rabbnya (Allah) dia bergembira dengan (pahala) puasanya [Muttafaqun ‘alaihi, dengan lafaz Muslim].

6. ‘Abdullah bin ‘Amr berkata yang Rasulullah bersabda :
(( الصِّيَامُ و القُرآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ القِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَي رَبِّ إِنِّي مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَ الشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفَّعْنِي فِيهِ؛ يَقُولُ القُرْآنُ: رَبِّ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ فَيُشَفَّعَانِ ))

“Puasa dan Al-Quran keduanya memberikan syafa’at untuk hamba tersebut pada Hari Kiamat. Berkata puasa: “Wahai Rabb, sesungguhnya aku telah menghalanginya dari makanan dan syahwat pada siang hari, maka terimalah syafa’atku untuknya.” Al-Qur`an berkata: Wahai Rabbku, aku telah menghalanginya dari tidur pada malam hari, maka terimalah syafa’atku untuknya. Maka keduanya memberikan syafa’at [Ahmad dan Ath-Thabarani]

7. Abu Hurairah meriwayatkan yang Rasulullah SAW bersabda :
(( ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ : الإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ … ))

“Tiga pihak tidak akan ditolak doa mereka: Seorang pemimpin yang adil, seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, dan doa seorang yang dizalimi…” [At-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

8. Abu Hurairah berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
(( اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتُ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْـتَـنَبَ الْكَبَائِرَ )) [رواه مسلم]

“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat berikutnya, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya merupakan penghapus dosa-dosa selama masih meninggalkan dosa-dosa besar”. [Muslim]

9. Abu Hurairah melaporkan yang Rasulullah SAW bersabda :
(( وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ))

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana dorongan iman dan mengharap (pahala) maka pasti Allah ampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. [Muttafaqun ‘alaihi]

10. Abu Hurairah melaporkan yang Rasulullah SAW bersabda :
(( إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ ))

“Jika telah datang bulan Ramadhan, maka dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu-pintu Jahannam, serta dibelenggu para syaithan”. [Muttafaqun ‘alaihi]

11. Hadith Abu Sa’id Al-Khudri :
(( إن لله تبارك وتعالى عتقاء في كل يوم وليلة – يعني في رمضان – وإن لكل مسلم في كل يوم وليلة دعوة مستجابة )) رواه البزار

“Sesungguhnya Allah memiliki orang-orang yang dibebaskan (dari azab neraka) pada setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan sesungguhnya setiap muslim memiliki do’a yang mustajab pada setiap siang dan malam” [Al-Bazzar]

Dan ada banyak lagi hadith sahih mengenai fadhilat dan kaifiat ibadah Ramadhan. Marilah kita panjang-panjangkan hadith-hadith sahih ini, semoga kita tidak tergolong daripada kumpulan yang melakukan pendustaan tanpa sedar seperti di dalam artikel saya semalam.

*************************************

FAQ Siyam

Q: Semasa berwudhu’, wajarkah saya meninggalkan amalan berkumur-kumur dan mencuci hidung ketika sedang berpuasa?
A: Tidak. Ianya adalah sunat ketika wudhu’ tidak kira sama ada berpuasa atau tidak. Yang penting, elakkan daripada minum air tersebut dengan sengaja.

Allahua’lam

******************

Risalah 05

Salam taqwa.

RAMADHAN DAN PENDUSTAAN TANPA SEDAR

Tulisan ringkas pada hari ini adalah merupakan persiapan penting bagi Muslim bagi menghadapi Ramadhan. Persiapan ini membabitkan kemurnian dan rasa akauntabiliti kita terhadap maklumat, ilmu dan pengisian mengenai bulan yang mulia ini.

Ramai muslim akan cuba untuk berkongsi ilmu dan mencetuskan kesedaran kepada rakannya yang lain mengenai Ramadan. Ada yang memberikan ceramah, tazkirah, menulis artikel, dan tidak kurang juga yang akan memanjangkan (forward) artikel-artikel berkaitan. Agak malang, sebahagian mereka telah terlibat di dalam pendustaan tanpa sedar. Pendustaan yang kerap berlaku ialah mereka menyandarkan kata-kata membabitkan fadhilat puasa dan Ramadhan kepada nabi Muhammad SAW, sedangkan nabi sendiri tidak pernah mengungkap kata-kata berkenaan.

Ini bukan untuk mencetuskan polemik salaf atau khalaf, tetapi hanyalah usaha kecil untuk menyedarkan umat Islam mengenai implikasi sekiranya kita berbohong atas nama nabi, seperti yang termaktub di dalam hadith mutawatir yang bermaksud, “Barangsiapa yang berdusta kepadaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di neraka”.

Mengulas hadith ini, Imam al-Nawawi berkata, “Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.”

Antara pendustaan atas nama nabi Muhammad yang berlaku menjelang Ramadhan ialah seperti berikut:

1. Kononnya Saidina Ali meriwayatkan hadith Rasulullah SAW mengenai fadhilat solat tarawih mengikut malam, contohnya malam pertama akan jadi seperti bayi yang baru dilahirkan, malam ke-7 seolah-olah dapat bertemu dengan nabi Musa dan membantu baginda menentang Fir’aun, dan malam ke-24 akan dimaqbulkan 24 doa. Hadith tidak pernah direkod di dalam mana-mana kitab himpunan hadith muktabar. Maknanya juga menepati ciri-ciri hadith palsu (maudhu’).

2. Hadith Rajab bulan Allah, Sha’ban bulan nabi dan Ramadhan bulan umat nabi. Hadith ini direka oleh Ibn Jahdam, seorang ahli tasauf yang turut mencipta beberapa hadith maudhu’ lain bagi tujuan galakan kepada umat Islam.

3. Hadith yang menyatakan Ramadhan itu awalnya rahmah, pertengahannya ada maghfirah (pengampunan) dan akhirnya ada pembebasan daripada api neraka. Teks hadith ini dikatakan merupakan sebahagian daripada khutbah nabi sebelum Ramadhan, antaranya turut mengandungi fadhilat memberi iftar kepada orang lain. Menurut Al-Albani, hadith ini termasuk di dalam hadith dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

4. Hadith yang menyakan berpuasalah kamu, nescaya kamu akan sihat. Teks penuh hadith ini ialah “berperanglah kalian, nescaya kalian akan mendapatkan ghonimah (harta rampasan perang), puasalah kalian nescaya kalian sihat, bermusafirlah kalian nescaya kalian bercukupan”. Hadith ini juga terdiri daripada hadith-hadith yang dho’if dari sudut periwayat dan periwayatannya.

Cukuplah sekadar 4 contoh hadith palsu (maudhu’) dan lemah (dho’if) yang kerap digunakan oleh umat Islam menjelang bulan Ramadhan. Saya hanya berkongsi maklumat ini tanpa perincian yang bersifat teknikal. Di sana terdapat banyak hadith sahih yang menceritakan mengenai fadhilat dan kaifiat puasa, yang insyaAllah sekiranya ada kesempatan akan saya kongsi dalam penulisan seterusnya.

Justeru, apa sikap kita apabila didatangi dengan hadith-hadith di atas? Walaupun mungkin ada makna di sebalik hadith di atas yang betul, seperti hadith puasalah, nescaya kamu akan sihat, akan tetapi Islam amat menitikberatkan keabsahan sesebuah hadith. Jangan sama sekali kita menyandarkan sesuatu yang kurang pasti sebagai kata-kata Rasulullah, kerana itu adalah pendustaan tanpa sedar. Sebaik-baiknya kita perlu mengelak daripada menulis, berceramah atau mem’forward’ artikel yang mengandungi hadith-hadith di atas. Akan tetapi ada juga sebahagian ulamak yang tetap membaca beberapa hadith lemah di atas, tetapi mereka menyatakan status hadith tersebut sebagai hadith dho’if.

Semoga kita mampu meningkatkan kualiti ibadah Ramadhan kita dengan memurnikan ilmu yang berkaitan dengannya.

***************************

Fiqh Siyam

Q: Adakah kita boleh makan selepas waktu imsak? Apakah asas waktu imsak?
A: Kita boleh makan selepas waktu imsak, sehinggalah tepat masuk waktu fajar. Rujuk Al-Baqarah:187. Asas mengapa sebahagian masyarakat Islam memperkenalkan waktu imsak mungkin merujuk kepada zaman Rasulullah sendiri, yang mana ketika itu ada 2 orang muazzin/bilal. Pertama, Bilal bin Rabah, dan kedua ialah Abdullah bin Ummi Maktum. Beberapa ketika menjelang waktu subuh, Bilal akan melaungkan azan pertama. Sementara ketika masuk waktu fajar, Ibn Ummi Maktum akan melaungkan azan kedua. Rasulullah membenarkan para sahabat makan dan minum sehingga mendengar azan Ibn Ummi Maktum. Selain itu, di dalam hadith sahih Zaid bin Thabit yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, beliau berkata, “Kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami berdiri untuk solat. Saya (Anas bin Malik) berkata : “Berapa jarak antara keduanya (antara sahur dan azan) dia (Zaid bin Tsabit) menjawab : “Lima puluh ayat”.

Q: Benarkah makruh hukumnya mencium wangi-wangian?
A: Di dalam kitab al-Ikhtiyarat, Ibn Taimiyyah menyatakan yang hukum mencium bau wangi semasa berpuasa adalah dibenarkan. Juga di sana, tidak terdapat sebarang nas yang menyatakan kemakruhan mencium wangian.

Q: Bilakah saat kita dibenarkan berniat puasa? Adakah selepas tarawih, atau pada waktu sahur?
A: Waktu niat berpuasa bermula daripada waktu maghrib hinggalah ke waktu fajar. Sekiranya ada lintasan hati/niat untuk berpuasa walaupun tidak berlafaz, maka kita dibolehkan untuk berpuasa.

Allahua’lam

*****************

Risalah 04

Salam taqwa.

MUDAHNYA PUASA: JAWAPAN KEPADA RAKAN-RAKAN NON-MUSLIM

Bagi muslim yang menetap di negara majoriti non-Muslim, ketibaan bulan Ramadhan adalah sebahagian daripada rutin cabaran yang boleh meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah. Ketika berpuasa, di sekeliling kita kawan-kawan non-Muslim tanpa segan silu akan makan dan minum. Mata pula akan diuji dengan pakaian yang menjolok mata terutamanya ketika musim panas. Hidangan ratusan saluran siaran televisyen juga boleh mengundang culas kepada kita.

Namun, antara yang menjadi cabaran utama bagi Muslim ketika berpuasa pada bulan Ramadhan ialah ketika diaju soalan bertalu-talu oleh rakan-rakan non-Muslim, mengenai relevan berpuasa. Mereka kerap bertanya, kenapa kamu seksa diri berlapar dahaga? Apa bagusnya puasa? Bukankah puasa itu satu seksaan untuk kanak-kanak, wanita mengandung, wanita bersalin, orang yang sakit serta warga tua? Adalah cantik sekiranya kita dapat berikan penerangan yang padat kepada mereka mengenai mengapa kita berpuasa serta kelonggaran yang diberi dalma syari’at di sebalik ibadah tersebut.

1. Sebagai muslim, kita tertakluk dengan undang-undang Allah. Undang-undang utama dalam Islam disebut sebagai rukun Islam, dan ianya perlu ditaati oleh semua muslim. Puasa adalah sebahagian daripada rukun Islam.

2. Amalan berpuasa cara Islam, dengan menahan diri daripada makan dan juga minum (tidak seperti sebahagian puasa agama lain yang membenarkan minum) adalah di dalam kemampuan manusia. Tidak pernah kedengaran orang Islam yang meninggal dunia kerana berpuasa. Banyak kajian oleh pakar diet dan nutrition mencadangkan kebaikan berpuasa cara Islam. Dan kita juga boleh menceritakan mengenai pengalaman kita berpuasa kepada mereka, daripada aspek meningkatkan kesihatan diri, pembinaan sahsiah dan seumpamanya.

3. Puasa Islam juga tidak ekstrim. Kita sangat digalakkan mengambil sahur, tidak seperti sebahagian puasa agama lain yang tiada sahur dan tempoh waktu puasa yang amat panjang. Bahkan syariat telah menetapkan galakan untuk menyegerakan berbuka puasa pada waktunya.

4. Walaupun puasa itu wajib di bulan Ramadhan, tetapi di sana terdapat kelonggaran yang diberikan, seperti berikut:

a. Puasa hanya wajib kepada Muslim aqil dan baligh sahaja. Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib berpuasa, walaupun digalakkan untuk melatih mereka. Bagi yang baru memeluk agama Islam pula, mereka dibenarkan untuk melatih diri secara perlahan-lahan untuk melakukan ibadah puasa.
b. Orang yang bermusafir diberikan pilihan sama ada meneruskan puasa atau berbuka. Ketika ditanya oleh para sahabat mengenai berpuasa ketika bermusaifr, nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Berpuasalah jika kamu mahu, dan berbukalah jika kamu mahu” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam keadaan ini, nabi memberikan pilihan tanpa mencadangkan sebarang keutamaan sama ada berpuasa atau tidak bagi mereka yang bermusafir. Bagi yang memilih untuk tidak berpuasa, mereka perlu menggantikannya pada bulan lain.
c. Orang yang sakit juga dibenarkan untuk tidak berpuasa. Sakit yang dibenarkan untuk tidak berpuasa ialah sakit yang sekiranya dia berpuasa, penyakitnya itu semakin teruk, mengancam nyawa atau lewat untuk sembuh. Puasa yang ditinggalkan wajib diganti ketika sihat.
d. Haid dan nifas. Wanita diberikan keistimewaan oleh Allah ketika haid dan nifas daripada berpuasa.
e. Warga tua juga diberikan keizinan untuk tidak berpuasa. Akan tetapi, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, mereka perlu membayar fidyah, iaitu satu yang tidak berpuasa mereka perlu memberi makan seorang miskin. Justeru sekiranya saudara kita yang tua tidak mampu berpuasa sebulan, berikanlah makanan yang mengenyangkan kepada 30 orang miskin sama ada dalam bentuk kenduri, atau kita sendiri yang salurkan bahan makanan kepada mereka.
f. Wanita yang hamil dan sedang menyusukan anak juga diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa, dan wajib diganti. Anas bin Malik al-Ka’bi melaporkan yang Nabi Muhammad pernah bersabda mengenai masalah puasa, yang bermaksud, “….Sesungguhnya Allah menggugurkan seperdua solat atas orang musafir, menggugurkan atas orang hamil dan menyusui kewajiban puasa….”. (Hadits Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah. Sanadnya hasan).

***********************************

FAQ Siyam

Q: Benarkah mandi ketika puasa hukumnya makruh?
A: Tidak benar. Di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni). Justeru, tidaklah menjadi kesalahan bagi mereka yang sedang keletihan kerana bekerja ketika berpuasa untuk mandi pada bila-bila waktu untuk menyegarkan badan.

Allahua’lam

****************************

Risalah 03

Salam taqwa.

Semalam, kita telah menghayati yang Ramadhan adalah pusat latihan menggilap ketaqwaan seorang Muslim. Seseorang yang melepasi piawaian pusat latihan Ramadhan adalah individu yang mempunyai perisai diri yang ampuh menangkis serangan musuh dalaman dan luaran manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Ertinya:

“Daripada Abi Hurairah R.A., Nabi SAW bersabda: “Puasa adalah perisai. Sekiranya seseorang dari kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ulamak menafsirkan perkataan junnah di dalam hadith di atas sebagai pelindung daripada api neraka. Ada juga yang menafsirkan junnah sebagai perisai diri. Di dalam Bahasa Arab, banyak perkataan yang huruf asasnya terdiri daripada jim dan nun, memberi maksud sesuatu yang kita tidak nampak. Sebagai contoh:

a. Jannah - syurga – destinasi yang kita tidak nampak lagi.
b. Jin - makhluk halus yang kita tidak boleh nampak dengan mata kasar.
c. Janin - bayi dalam kandungan, yang tidak tidak nampak lagi.
d. Majnun - gila. Tak nampak untuk membezakan yang baik dan jahat.
e. Junnah - perisai. Dengan ada perisai, musuh luar tidak nampak kita, dan sukar untuk menyerang kita.

Inilah dia junnah yang perlu kita cari sepanjang madrasah Ramadhan…. agar diri kita terlindung dan kuat menghadapi musuh dalaman dan luaran untuk 11 bulan selepasnya.

********************************************

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ramadhan

Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, berijtihad mencadangkan tips untuk memaksimumkan kecemerlangan seseorang Muslim yang berpuasa, dengan membahagi puasa itu kepada tiga jenis tingkatan, iaitu:

1. Puasa umum, iaitu tingkatan yang paling rendah dengan menahan diri daripada makan, minum dan jima’. Ini ialah puasa majoriti manusia. Puasa begini memungkinkan mereka ini tidak mendapat apa-apa sepanjang Ramadhan, melainkan lapar dan dahaga sahaja.

2. Puasa khusus, iaitu menahan makan, minum dan jima’, serta memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Ini ialah sasaran minimum yang perlu diletakkan oleh kita untuk mendapat puasa yang cemerlang.

3. Puasa khusus al- khusus, iaitu puasa hati dari segala kehendak hina dan segala tarikan duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah. Sebaiknya kita perlu berusaha menjadikan puasa pada tingkatan ini, sama seperti puasa para nabi dan juga orang-orang muqarrabin, yang amat hampir dengan Allah.

Dalam usaha mencapai sekurang-kurangnya puasa khusus, Imam Al Ghazali mencadangkan enam tips penting, iaitu:

1. Menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Telah bersabda Rasulullah, ” Barang siapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah akan menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya”.

2. Menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, serta melazimi sikap berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Al-Quran.

3. Menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik. Tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Ramai manusia boleh mengelakkan diri daripada mengata orang lain, tetapi agak sukar untuk mengelak daripada mendengar umpatan atau gosip jahat daripada pihak ketiga. Sama ada yang mengumpat atau yang mendengar, mereka berkongsi dosa.

4. Mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.

5. Tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia memanjakan nafsunya dengan makanan yang banyak.

6. Hatinya sentiasa ada perasaan cemas (khauf) dan harap (raja’), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme dan bersangka baik dengan rahmat Allah.

**************************************************|

FAQ Siyam

Q: Apakah ureterscopy yang digunakan untuk mendapat imej di dalam saluran kencing hingga ke buah pinggang membatalkan puasa?
A: Tidak

Q: Menerima suntikan atau injection sama ada di otot, sendi atau salur darah, adakah merosakkan puasa?
A: Tidak, kecuali sekiranya diberikan IV feeding atau menyuntik bahan yang menggantikan makanan ke saluran darah.

Allahua’lam

***************

Risalah 02

Salam taqwa

Setelah mengetahui yang objektif utama berpuasa pada bulan Ramadhan ialah menggilap ketaqwaan, mari sama-sama kita fahami erti taqwa yang sebenarnya:

1. Ali bin Abu Talib: Taqwa ialah meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan.
2. Al-Hasan: Taqwa ialah menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.
3. Ibn Kathir: Taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini.
4. Ibn Abbas: Orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.
5. Ali bin Abi Talib juga menerangkan mengenai taqwa: Takutkan Allah Yang Maha Tinggi, rela dengan kurniaan yang sedikit, beramal dengan Quran dan bersedia bagi hari berjalan jauh(mati) (Al-khauf minal Jalil, al-ridha bilqalil, al-amal bittanzil wal isti’dad liwaumirrahil)

************ ********* ********* ********

Bagaimana puasa menggilap ketaqwaan?

Musuh utama ketika muslim berpuasa ialah hawa nafsunya. Syaitan dibelenggu sepanjang Ramadhan. Sudah tentu Muslim yang baik akan bermujahadah melawan nafsunya ketika menyempurnakan ibadah puasa.

Operasi perang nafsu selama sebulan itu akan melatih hati kita daripada keinginan-keinginan jahat atau melebihi keperluan. Latihlah hati kita sepanjang Ramadhan ini untuk:

a. Bukan semata-mata puasa perut sahaja, tetapi puasa hati, mata, telinga, mulut dan anggota-anggota yang lain. Anggota yang terlatih selama sebulan akan rasa janggal melakukan maksiat sejurus selepas Ramadhan nanti.
b. Bangun awal pagi untuk sahur. Sahur membezakan puasa umat Muhammad dengan puasa ahli kitab. Sahur juga adalah latihan untuk kita solat subuh pada awal waktu, dan mendorong kita untuk menunaikan solat tahajjud.
c. Menggandakan bacaan al-Quran sepanjang Ramadhan. Amalan tadarus beramai-ramai adalah baik untuk menghayati makna al-Quran serta memperbetulkan bacaannya. Melatih diri untuk konsisten membaca al-Quran, serta melatih diri supaya tidak malu memperbetulan bacaan al-Quran akan memberikan kesan yang mendalam kepada Muslim yang berpuasa.
d. Melatih diri supaya bersederhana dalam mengambil makanan terutamanya ketika berbuka puasa. Berlebih-lebihan ketika berbuka puasa akan mendorong malas untuk menunaikan syi’ar malam Ramadhan seperti tarawih dan tahajjud.
e. Melatih diri supaya tidak kikir menghulurkan sumbangan kewangan. Semua Muslim wajib untuk membayar zakat fitrah. Dan alangkah cantik lagi kalau kita menjadikan Ramadhan sebagai waktu haul untuk membayar zakat harta. Kemuncaknya, ialah dengan menggandakan infaq dan sedekah jariyah.

Hakikatnya, banyak lagi latihan-latihan diri sepanjang Ramadhan untuk menggilap ketaqwaan kepada Allah swt. Libatkanlah diri anda dengan latihan-latihan ini. Ramadhan ialah pusat latihan. Jangan terkena virus escapism di bulan Ramadhan.

************ ********* ********* *

FAQ Siyam:

Q: Adakah mengorek hidung membatalkan puasa?
A: Tidak.

Q: Adakah menelan air liur membatalkan puasa?
A: Tidak. Akan tetapi ulamak mazhab Shafi’e menyatakan sekiranya air liur itu sudah keluar daripada dua bibir lalu kita menelannya semula dengan sengaja, itu membatalkan puasa.

Q: Saya lupa membaca lafaz puasa. Adakah sah puasa saya pada hari itu?
A: Yang menjadi antara rukun puasa ialah berniat, bukannya membaca lafaz niat. Niat ialah lintasan hati. Membaca lafaz niat pula ialah membaca niat tersebut dengan lisan. Ada orang yang membaca lafaz niat tetapi hatinya merewang tidak tahu apa yang dibacanya. Justeru sekiranya antara waktu maghrib hingga sebelum fajar, seseorang itu ada terlintas hatinya untuk berpuasa pada keesokan harinya, maka dia boleh berpuasa walaupun dia tidak membaca lafaz niat.

Q: Hukum memakai lip balm atau moisturizer ketika berpuasa.
A: Dibenarkan, dan puasa sah. Puasa akan terbatal sekiranya kita makan krim pelembab tersebut. Isu ini boleh diqiyaskan dengan fatwa Ibn Taimiyah mengharuskan bercelak ketika puasa.

Q: Saya tertarik dengan jawapan ustaz mengenai hukum puasa pada musim panas. Bagaimana pula cara berpuasa kalau kita berada di kutub utara dan selatan, di mana tidak ada waktu maghrib dan subuh?
A: Bagi yang berada di kutub utara, anda boleh mengikuti waktu solat dan berbuka negara yang ada waktu terhampir dengannya, contohnya di Canada atau negara Scandinavia. Bagi yang berada di kutub selatan, ikutlah waktu solat dan berbukan New Zealand atau Australia.

Allahua’lam

********************

Risalah 01

Salam Taqwa.

Cara Sahabat Nabi dan para Salaf al-Soleh menyambut Ramadhan.

1. Mereka menyambutnya seperti seorang insan menyambut kekasihnya.
2. Mereka melazimi doa:
اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبَ وَ شَعْبَانَ وَ بَلِّغْنَا رَمَضَان
Ya Allah, berkatilah kami pada Rajab dan Sha’ban, dan sampaikanlah kami dengan Ramadhan
(Hadith riwayat Ahmad)
3. Mereka melihat Ramadhan sebagai sebuah institusi menggilap ketaqwaan sebagai bekalan untuk bulan-bulan mendatang.
****************************************************

Objektif Ramadhan: TAQWA

{ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah:183)
***************************************************************
FAQ Fiqh Siyam:

Q: Adakah terdapat kelonggaran khusus ketika berpuasa pada musim panas?
A: Selagi ada waktu Subuh dan Maghrib di sesuatu kawasan, maka selagi itulah kita perlu berpuasa seperti waktu wajibnya. InsyaAllah ganjaran berpuasa pada musim ketika siangnya boleh menghampiri 20 jam adalah lebih banyak berbanding puasa pada waktu siang yang pendek. Ramai Muslim yang telah membuktikan bahawa mereka mampu melakukannya. Adapun sekiranya puasa pada musim panas memudaratkan kesihatan, atas nasihat pakar perubatan, maka dibenarkan untuk menggantikannya pada waktu lain.

Q: Adakah menderma darah membatalkan puasa?
A: Tidak. Begitu juga dengan mengambil sampel darah untuk ujian makmal.

Q: Adakah pemeriksaan vagina bagi ibu yang sedang mengandung membatalkan puasa?
A: Tidak
Sedutan dari Filem The Message












 






Ketika Tangan Dan Kaki Berkata

Album :
Munsyid : Chrisye
http://liriknasyid.com

Akan datang hari
Mulut dikunci
Kata tak ada lagi

Akan tiba masa
Tak ada suara
Dari mulut kita

Berkata tangan kita
Tentang apa yang dilakukannya
Berkata kaki kita
Kemana saja dia melangkahnya

Tidak tahu kita
Bila harinya
Tanggungjawab tiba

Rabbana
Tangan kami
Kaki kami
Mulut kami
Mata hati kami
Luruskanlah
Kukuhkanlah
Dijalan cahaya
Sempurna

Mohon karunia
Kepada kami
Hamba-Mu yang hina

 


Hadith 15: Matan Arbain oleh Imam Nawawi.


Daripada Abu Hurayrah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda:


Sesiapa yang beriman dengan Allah dan dia juga beriman kepada hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata perkara-perkara kebaikan ataupun lebih baik dia berdiam diri. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga beriman kepada hari akhirat (hari kebangkitan), maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.


Intipati hadith:


Hadith ini menerangkan tanda-tanda ataupun ciri-ciri/sifat orang yang beriman dengan Allah dan juga mempunyai ikatan akidah yang kuat terhadap dosa pahala yakni perhitungan di hari akhirat. Antara sifat mereka ialah:


1. Seorang yang menjaga tutur lidahnya. Ini kerana dia menyedari bahawa setiap pendengaran, penglihatan, cetusan hati semuanya akan ditanya satu persatu seperti dalam surah al-Isra' 36 dan juga peringatan Allah, setiap lafaz kata bersama-samanya ada malaikat raqib dan Atid yang akan mencatitnya satu persatu. Jika kita berasa takjub dengan teknologi rakaman yang ada pada hari ini, seharusnya hati kita ini gerun pada teknologi rakaman Allah yang maha berkuasa.


2. Seorang yang memuliakan jiran. Menjadi adab Islam, jiran ialah manusia terhampir dengan kediaman kita. Tanpa mengira siapakah mereka, agama mereka, mereka merupakan orang yang paling berhak dihormati. Oleh itu kita perlulah mengambil kira siapakah jiran tetangga terdekat dan dipenuhi hak sosial mereka sebagai jiran.  


3. Seorang yang memuliakan tetamu. Antara sifat orang beriman ialah berasa gembira menerima tetamu bahkan berusaha menyambutnya dengan penuh meriah. Sifat memuliakan para tetamu ini adalah sifat para nabi. Antara maksud memuliakan tetamu ini ialah tidak membeza-bezakan tetamu yang datang ke rumah walau apa latarbelakang mereka (kaya/miskin), golongan berpangkat ataupun tidak. Semua dilayan dengan baik tanpa mengira siapa mereka. Sifat memuliakan tetamu ini juga dapat dilihat dari kesungguhan meraikan mereka, menyediakan hidangan mengikut kemampuan, melahirkan rasa gembira dengan kedatangan mereka baik dengan wajah yang manis, budi bahasa dan juga tingkahlaku.

No comments:

Post a Comment